KUANTAN 6 Okt. – Satu kajian yang dijalankan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) baru-baru ini mendapati baja yang dihasilkan secara semula jadi oleh cacing tanah adalah jauh lebih berkualiti berbanding baja kimia yang sering digunakan golongan petani ketika ini.
Ia kerana baja yang dihasilkan oleh cacing tersebut dikenal pasti mempunyai campuran nutrien lengkap dengan campuran organisma yang lebih baik serta zat makanan dan mineral yang mampu menyuburkan tumbuhan untuk satu tempoh jangka masa yang panjang.
Malah, baja yang terhasil daripada cacing tanah itu juga terbukti bersifat mesra alam kerana mampu memperbaiki kualiti tanah pada tahap yang memuaskan selain berupaya meningkatkan kestabilan dan pengudaraan pada tanah sekali gus mengurangkan hakisan.
NILAI: Kegiatan penternakan haiwan eksotik seperti lintah dan cacing yang semakin mendapat sambutan ramai dibenarkan mengikut syarak, kata Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk pakar haiwan bagi menjalankan kajian berhubung perkara berkenaan bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat.
“Selepas diteliti, jelas sekali perniagaan dan kegiatan penternakan haiwan seperti lintah dan cacing ini dibolehkan. “Umat Islam yang berhasrat menceburi bidang ini boleh teruskan hasrat mereka kerana daripada segi pemakanan haiwan itu juga tidak meragukan, malah penggunaannya untuk menghasilkan kosmetik juga didapati tidak timbul sebarang masalah,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini, baru-baru ini.